Agama Penyelesai Masalah
Seorang alim pada suatu zaman dahulu telah bermusafir dengan menunggang seekor unta.
Tiba di suatu tempat orang alim itu berjumpa dengan tiga orang bersaudara (adik-beradik) sedang kebingungan untuk mencari jalan menyelesaikan tentang masalah pembahagian harta yang diwasiatkan oleh arwah bapa mereka.
Sebelum meninggal si bapa telah meninggalkan 19 ekor unta dan mewasiatkan supaya dibahagikan 1/2 kepada anak yang paling tua, 1/4 kepada anak kedua dan 1/5 kepada yang paling muda. Pembahagian hendaklah dibuat mengikut kadar yang diwasiatkan dan dengan syarat tidak boleh memotong unta-unta tersebut.
Syarat inilah yang membuat mereka bingung kerana bila dikira (secara matematik) yang paling tua akan mendapat 9.5 ekor, anak yang kedua mendapat 4.75 ekor dan yang ketiga pula mendapat 3.8 ekor, sedangkan syaratnya unta-unta tersebut tidak boleh dipotong-potong.
Lalu bertanyalah orang alim tadi kepada mereka bertiga apakah gerangan masalah yang membuatkan mereka bingung? Dan setelah mendengar penjelasan orang alim pun berkata (lebih kurang), “jangan susah, ambil unta saya satu ekor ini dan bahagikan semula”.
Kini jumlah unta mereka sudah jadi 20 ekor dan setelah dibahagikan mengikut kadar yang diwasiatkan, masing-masing mereka mendapat 10 ekor (1/2 daripada 20), 5 ekor (1/4 daripada 20) dan 4 ekor (1/5 daripada 20).
Ketiga-tiga mereka pun gembira dengan penyelesaian itu. Tetapi setelah dicampur semula unta-unta tadi iaitu 10 + 5 + 4 jumlahnya 19 ekor. Mereka berasa hairan lalu memberi tahu orang alim tadi, seekor unta telah terlebih.
Orang alim itu menjawab nah bagi semula seekor yang saya punya tadi. Selesai masalah – orang alim dapat semula untanya, tiga beradik tadi pun dapat membahagikan harta mengikut wasiat bapanya.
Seterusnya penceramah menjelaskan bahawa 19 ekor unta yang hendak dibahagikan-bahagikan itu adalah umpama urusan dunia manakala unta orang alim yang seekor tadi adalah umpama amalan agama. Dengan memasukkan agama dalam urusan dunia (kehidupan harian kita) masalah dunia yang rumit dapat diselesaikan dengan mudah.
Semoga kita semua mendapat pengajaran dan mengambil iktibar daripada kisah ini.
Sekian, wallaahu ‘a’lam.
Comments
Powered by Facebook Comments
{ 1 comment… read it below or add one }
nice story bro. Cerita yang dapat mengingatkan kita. Kadang2 kita alpa dengan dunia
kodinz recently posted..Bagaimana Nak Dapatkan Exact Match Domain Untuk Blog